Semenjak hari itu, 'Ikrimah telah bergabung ke dalam angkatan dakwah. Beliau seorang pahlawan yang gagah berani di medan peperangan. Sementara di masjid pula, beliau seorang yang kuat beribadah, rajin bersembahyang malam dan banyak membaca al-Quran. Beliau pernah meletakkan mushaf di mukanya sambil berkata:
"kitab Tuhanku....kata-kata Tuhanku." Kemudian beliau menangis teresak-esak kerana takutkan Allah s.w.t..
* * *
'Ikrimah telah menunaikan janji yang diikrarkannya di hadapan Nabi saw. Setelah keislamannya, beliau pasti turut serta dalam apa jua peperangan yang dilancarkan oleh orang Islam. Tiada satu perutusan perang yang diutuskan melainkan beliau berada di barisan terkehadapan.
Ketika peperangan Yarmuk, 'Ikrimah memasuki pertempuran seolah-olah orang yang dahagakan air yang dingin pada hari yang panas terik.
Apabila tentera Islam berada dalam keadaan yang agak genting, 'Ikrimah turun dari kudanya sambil mematahkan sarung pedangnya. Beliau kemudiannya merempuh jauh ke dalam barisan tentera Rom. Lantas Khalid bin Al-Walid segera mendapatkan beliau seraya berkata:
"Jangan lakukan wahai 'Ikrimah! Kematian kamu adalah hentaman yang cukup berat kepada tentera Islam."
Namun 'Ikrimah membantahnya: "Tinggalkan saya wahai Khalid! Kamu lebih dahulu bersama Rasulullah. Sedangkan saya dan ayah saya adalah orang yang paling keras menentang Rasulullah. Biarkan saya menebus kesalahan saya yang lalu."
"Sesungguhnya saya telah memerangi Rasulullah saw. dalam banyak peperangan! Adakah pada hari ini saya hendak lari daripada Rom?!!" ujar beliau lagi.
"Tidak! ini sekali-kali tidak boleh berlaku!" bentak beliau.
Kemudian 'Ikrimah menjerit kepada tentera Islam: "Siapa yang mahu melakukan bai'ah untuk mati???!!"
Lantas bapa saudaranya al-Harits bin Hisyam, Dhirar bin al-Azwar bersama 400 tentera Islam yang lain telah berbai'ah dengan beliau.
Mereka kemudiannya berperang bermati-matian di hadapan markaz kepimpinan Khalid r.a.. Mereka mempertahankan agama Allah dengan penuh kemulian dan pertahanan yang kental.
* * *
Peperangan Yarmuk kemudiannya berakhir dengan kemenangan besar tentera Islam. Di celah-celah mayat yang bergelimpangan di medan tempur, kelihatan tiga orang pejuang sedang baring terlantar. Mereka masih bernyawa namun amat lemah dan tidak berdaya akibat luka parah yang dialami. Mereka ialah al-Harits bin Hisyam, 'Ayyasy bin Abi Rabi'ah dan 'Ikrimah bin Abi Jahal.
Al-Harits melaung meminta sedikit air untuk diminum. Apabila air hendak diberikan kepada beliau, terpandang olehnya 'Ikrimah yang sedang memerhatikannya...lantas al-Harits mengarahkan:
"Kamu berilah air ini kepada dia ('Ikrimah)."
Apabila mereka menghampiri 'Ikrimah, 'Ayyash pula menoleh kepadanya... maka 'Ikrimah berkata:
"Kamu berilah kepada dia."
Mereka pun bergegas kepada 'Ayyash. Namun apabila mereka menghampirinya, mereka mendapati beliau telah meninggal dunia. Belum sempat mereka memberinya minum.
Justeru itu, mereka segera kembali mendapatkan dua sahabat yang kehausan tadi. Tetapi, mereka mendapati dua sahabat itu juga telah meninggal dunia.
* * *
semoga Allah meredhai mereka semua. semoga Allah memberi mereka minum dari kolam al-Kaustar dan selepas itu mereka tidak lagi dahaga untuk selama-lamanya. dan semoga Allah menganugerahkan syurga Firdaus yang menghijau untuk mereka bergembira di dalamnya buat selama-lamanya.
(dipetik daripada kitab 65 gambaran kehidupan sahabat)
"mereke yang sedang berada di jalan Allah, yakinlah sebenarnya mereka sedang berada di taman-taman syurga"
(Sheikh Maulana Muhamad Saad al-Kandahlawi)
targhib diri:
Lihatlah keyakinan mereka kepada kekuasaan Allah serta ketakutan mereka pada Allah zat yang maha berkuasa. Betapa kecintaan mereka kepada Nabi saw. Walhal sebelum ini 'Ikrimah adalah orang yang paling bersemarak kebenciannya pada Islam lebih-lebih lagi setelah kematian ayahnya Abu Jahal.
Agama hanya akan tersebar dengan susah-payah, aliran air mata di malam hari, titisan darah di siang hari. Mereka telah berkorban habis-habisan demi menyampaikan agama kepada seluruh manusia seluruh dunia. Mereka bukan pergi meninggalkan kampung untuk 3 hari, 40 hari atau 4 bulan. Tetapi mereka telah serahkan diri hatta nyawa mereka untuk agama Allah swt. Perginya mereka tidak tahu bila pulangnya.
Sedarlah, hari ini kita bersenang-senang mendapatkan kalimah iman dengan mudah serta bersyukur dapat mengamalkan perintah-perintah Allah dengan aman. Ketahuilah, nikmat-nikmat ini adalah hasil daripada aliran darah orang-orang Islam terdahulu. Tangisan anak-anak kecil yang diyatimkan, kesedihan isteri-isteri yang dijandakan. Ini semua ini kerana fikir, risau mereka bagaimana kita serta seluruh umat Nabi saw di permukaan bumi ini dapat beriman serta mengamalkan perintah Allah dan sunnah Nabi saw.
Begitu sekali keghairahan sahabat-sahabat r.hum terhadap agama. Melalui pengorbanan serta susah-payah mereka demi agama sebegini rupalah Allah swt. telah sebarkan hidayah ke pelusuk dunia.
Mudah-mudahan Allah beri kita taufiq untuk tiru sifat-sifat sahabat Nabi saw. Ameen.